Khamis, 2 Disember 2010

Golongan Yang Tidak Layak Menjadi Pemimpin



Rasulullah tidak melantik sesiapa yang meminta jawatan, sebaliknya menyerahkan kepada yang mempunyai sifat bertanggungjawab. Menyedari pentingnya pemimpin dan kepemimpinan, Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang tidak boleh atau haram diangkat menjadi pemimpin, atau dalam bahasa mudahnya empat golongan atau kategori manusia yang tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori itu dibolehkan.
Golongan pertama yang diharamkan adalah orang Yahudi dan Nasrani. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian daripada mereka. Barang siapa antara kamu menjadikan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah Al-Maidah : Ayat 51)
Golongan kedua adalah orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa, saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir daripada iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin daripada kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim.” (Surah At-Taubah : Ayat 23)
Golongan ketiga adalah orang yang di luar kalanganmu termasuk dalamnya orang munafik. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain daripada golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu (hatimu).” (Surah Al-i-Imran : Ayat 118 – 119)
Golongan keempat adalah orang yang mengingkari al-Quran dan hukumnya. Berhubung perkara ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan daripada kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?” (Surah An-Nisa’ : Ayat 144)
Rasulullah SAW pula mengingatkan supaya kalangan yang berkehendakkan sesuatu jawatan (menjadi pemimpin) hendaklah jangan dilantik kerana ia akan mendatangkan banyak masalah pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Sebaliknya jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan (menjadi pemimpin) tetapi mempunyai kebolehan.
Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan.” Lalu Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: “Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia pada hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul.”
Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh melalui apa jua cara bermaksud penjawatnya berkehendakkan jawatan itu seperti melalui sogokkan, bodek dan sebagainya. Sebaliknya jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.
Rasulullah tidak memberikan sesuatu jawatan (kepemimpinan) kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi akan menyerahkan kepada mereka yang cukup layak menjawat sesuatu jawatan (memimpin) tetapi tidak berhajatkan jawatan berkenaan.
Imam Al-Hakam meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik menjalankan urusan umat Islam, maka ia melantik seorang tertentu sedangkan ia dapati ada yang lebih baik daripadanya, maka sesungguhnya ia mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.”

Ahad, 28 November 2010

Kisah Seorang Pemuda

        Pada   zaman dahulu ada seorang raja mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut, dia berkata kepada raja, “Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepada ku seorang pemuda supaya ku ajari dia ilmu sihir.” Maka dikirimlah kepadanya oleh raja seorang pemuda untuk belajar ilmu sihir.
Di jalan yang dilalui si pemuda setiap hari untuk pergi belajar sihir ada seorang pendeta. Si pemuda selalu singah ke tempat pendeta tersebut dan mempelajari ajaran-ajarannya. Ternyata ajaran pendeta tersebut sangat dikagumi si pemuda. Apabila dia terlambat sampai ke tempat tukang sihir, dia dipukul oleh tukang sihir.
Hal itu diadukannya kepada pendeta. Kata pendeta, “Jika engkau takut dimarahi tukang sihir katakan kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau takut dimarahi keluargamu, katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang sihir.”
Sementara keadaan berjalan demikian rupa, pada suatu hari muncul seekor binatang besar mengejar orang ramai yang berjalan di jalan raya. Kata si pemuda, “Hari ini aku harus tahu, mana yang lebih hebat, ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta.” Maka diambilnya batu lalu dia berdoa, “Wahai Allah! Jika ilmu pendeta yang lebih Engkau sukai dari ilmu tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini supaya orang ramai dapat lalu.” Lalu dilemparnya binatang itu dan mati di saat itu juga, sehingga orang ramai dapat lalu.
Si pemuda datang kepada pendeta menceritakan peristiwa yang baru dialaminya. Kata pendeta, “Hai anak ku! Mulai hari ini ternyata engkau lebih unggul daripada ku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji, janganlah engkau mengatakan bahawa aku gurumu.
Si pemuda sudah pandai mengubati orang bisu, mengubati penyakit kusta dan mengubati berbagai penyakit lagi. Hal itu didengari oleh seorang Menteri Raja yang buta matanya. Maka didatanginya si pemuda dengan membawa hadiah yang banyak. Katanya, “Jika engkau dapat menyembuhku dari kebutaan, maka hadiah-hadiah ini ku berikan kepada mu.” Jawab pemuda, Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang. Yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Jika anda mahu beriman kepada Allah, aku akan berdoa semoga Dia berkenan menyembuhkan anda.” Maka berimanlah dia kepada Allah, lalu Allah Ta’ala menyembuhkannya.
Kemudian Menteri Raja datang ke majlis raja seperti kebiasaan. Sang Raja bertanya kepadanya, “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Jawab Menteri, “Tuhan ku!” Titah Raja, “Engkau punya Tuhan selain aku?” Jawab Menteri, “Tuhan ku dan Tuhan anda ialah Allah!” Maka diseksanya menteri tersebut, sehingga dia terpaksa menunjukkan pemuda yang mengubatinya. Maka dihadapkan si pemuda ke hadapan raja. Titah Raja, “Hai anak ku! Sungguh hebat ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, menyembuhkan penderita kusta, dan engkau telah berjasa begini dan begitu.” Jawab pemuda “Aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah Ta’ala semata-mata.” Maka diseksanya lah si pemuda sehingga dia terpaksa menunjukkan pendeta. Maka dihadapkan pula pendeta ke hadapan raja. Titah Raja, “Keluarlah (murtad) dari agamamu. Pendeta menolak perintah raja tersebut. Raja memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala pendeta. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh.
Kemudian dihadapkan pula Menteri Raja. Maka diperintahkan kepadanya, “Keluarlah (murtad) kamu dari agamamu!” Menteri Raja menolak. Maka diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya, lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh. Kemudian dihadapkan si pemuda. Maka diperintahkan pula kepadanya, “Keluarlah kamu dari agamamu!” Tetapi si pemuda menolak lalu dia diserahkan kepada para pengawal raja. Titah Raja, “Bawa dia ke puncak-puncak gunung. Sampai di sana, jika dia mahu keluar dari agamanya, jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak, lemparkan ke jurang yang dalam.
Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda ke puncak gunung. Sementara itu si pemuda mendoa, “Wahai Allah, selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki.” Maka bergoncanglah (gempa) gunung, sehingga para pengawal raja semuanya jatuh ke dalam jurang. Dan si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja bertanya, “Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?” Jawab pemuda, “Allah menyelamatkanku dari kejahatan mereka.”
Maka diserahkannya si pemuda kepada para pengawal yang lain dengan titahnya, “Bawa dia dengan perahu ke tengah-tengah lautan. Jika dia mahu keluar dari agamanya, biarkan dia. Tetapi jika dia menolak, lemparkan dia ke laut. Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda. Si Pemuda mendoa, “Wahai Allah! Selamatkanlah aku dari kejahatan mereka dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki.” Maka terbaliklah perahu mereka sehingga para pengawal tenggelam semuanya. Si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja, “Ke mana para pengawal, apa yang terjadi?” Jawab pemuda, “Allah melindungi ku dari kejahatan mereka.”
Kata pemuda kepada raja, “Anda tidak akan dapat membunuh ku sebelum anda lakukan perintah ku.” Tanya Raja, “Apa itu?” Jawab pemuda, “Kumpulkan seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu salib aku di situ pada sebatang pohon. Kemudian ambil anak panah dari tempat panah ku dan letakkan di busur dengan membaca : Bismillahi rabbil ghulam (Dengan nama Allah, Tuhan Pemuda ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila anda lakukan seperti itu maka anda akan berhasil membunuh ku.”
Maka dikumpulkannya seluruh rakyat di suatu lapangan. Lalu disalibnya si pemuda pada sebatang pohon. Kemudian diambilnya panah lalu dipasang pada busur dengan membaca: Bismillahi rabbil ghulam. Maka dipanahnya si pemuda dan mengenai pelipisnya. Si pemuda meletakkan tangannya di tempat yang dipanah lalu dia mati. Maka berkata orang ramai, “Kami beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda!”
Pernyataan rakyat tersebut dikhabarkan orang kepada raja. Kata mereka, “Tahukah anda, bahawa apa yang anda takutkan selama ini sungguh telah terjadi. Rakyat telah menyatakan keimanan kepada Allah.” Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat parit di pintu-pintu jalan utama, lalu di dalam parit dinyalakan api. Titah raja, “Siapa tidak keluar dari agamanya, lempar dan bakar mereka dalam parit.” Maka dilaksanakanlah perintah raja tersebut. Pada giliran seorang wanita yang sedang mengendong bayi, wanita itu  ke hulu dan ke hilir menanti saat dilempar ke dalam parit. Maka berkata bayinya, “Wahai ibu! Tabahkanlah hati ibu kerana ibu berada dalam kebenaran.”

Tidak Putus Asa Berdoa




Insan yang tidak berputus asa berdoa dengan penuh keyakinan akan dimakbulkan hajatnya. Imam Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman iaitu yakin adanya Allah SWT dan yakin pula terhadap sifat-Nya di antaranya pemberi rahmat, hendaknya kita sandarkan harapan baik kepada Allah dengan sepenuh hati.
Selanjutnya, Imam Ghazali menyatakan bahawa agama Islam mengajar di samping seseorang berikhtiar, hendaklah dilengkapi dengan doa. Doa sebagai tanda seseorang mempunyai harapan baik kepada Allah SWT.
Katanya lagi, orang yang berputus asa daripada rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. Dalam al-Quran, orang demikian dianggap kafir (tertutup hatinya dan tidak percaya adanya pertolongan Allah). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr : Ayat 56)
Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya yang luas dan tidak terhitung banyaknya.
Banyaknya rahmat Allah dapat dilihat melalui hadis diriwayatkan Abul-Latis dengan sanadnya daripada Al-Hasan berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”
Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup atas dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk ke syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya.” Sahabat bertanya: “Tidak juga anda, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan keampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)
Allah SWT tidak membezakan hamba untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang yang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.
Orang yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi : Ayat 110)
Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kerana hajat kita akan dimakbulkan dengan syarat tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah Al-Anbiya : Ayat 88)